Monday, May 25, 2009

Kaedah Pelaksanaan HeadCount

Fasa Perancangan

  • Pihak pentadbir dan Unit Peperiksaan menyediakan peratus lulus keseluruhan dan gred purata sekolah untuk PMR dan SPM pada tahun lalu dan diedarkan kepada semua panitia.
  • Panitia menetapkan peratus lulus dan gred purata bagi setiap mata pelajaran di bawah naungan mereka (sasaran peratus lulus dan gred purata mestilah melebihi peperiksaan tahun lepas)
  • Panitia mengarahkan guru mata pelajaran untuk membuat sasaran bilangan pelajar mengikut gred bagi setiap kelas yang di ajar.

Fasa Pelaksanaan

  • Guru mata pelajaran mengisi fail ‘Headcount SPM’ dan ‘Headcount PMR’ dalam Microsoft Excel yang telah disediakan oleh Unit Peperiksaan.
  • Panitia perlu pastikan supaya peratus kelulusan dan gred purata mata pelajaran melebihi peperiksaan tahun lepas.
  • Guru mata pelajaran menentukan gred bagi setiap pelajar mengikut jumlah yang telah ditetapkan sebelumnya.
  • Guru menyedikan sasaran markah untuk setiap pelajar berdasarkan sasaran gred pelajar.


Fasa Penyediaan Data

  • Unit Peperiksaan menyediakan data head count di dalam perisian SAP45 dan SAP 123
  • Guru mata pelajaran memasukkan data sasaran markah ke dalam perisian SAP45 dan SAP 123 untuk setiap pelajar.
  • Unit Peperiksaan menggabungkan semua data dan memastikan peratus kelulusan dan gred purata menepati sasaran pantia masing-masing.


Fasa Penyediaan Graf

  • Setiap pelajar diberikan ‘Kad Penilaian Prestasi’ yang berbentuk graf mengikut bilangan mata pelajaran yang di ambil.
  • Dengan bimbingan guru mata pelajaran, pelajar menandakan graf mereka mengikut markah yang diperolehi dan markah sasaran yang diberikan oleh guru masing-masing – Rujuk Penentuan Data Head Count

Fasa Audit Akademik Pelajar

  • Guru memindahkan data di dalam Kad Penilaian Prestasi tersebut ke dalam Borang Data Head Count di dalam fail Audit Akademik Pelajar
  • Pentadbir membuat pemantauan dari masa ke semasa untuk memastikan guru mencapai sasaran yang telah dibuat.

Fasa Pecutan Akhir

  • Selepas sukatan mata pelajaran selesai di ajar, guru-guru mata pelajaran akan membentuk 3 kumpulan berdasarkan kemampuan dan prestasi para pelajar iaitu kumpulan cemerlang, sederhana dan galus (gagal-lulus).
  • Semua aktiviti yang dibuat seperti latih tubi dan ulangkaji dilakukan berdasarkan kumpulan tersebut yang mana bertujuan untuk meningkatkan kemampuan pelajar di bahagian sederhana kepada cemerlang dan bahagian galus kepada lulus.

Istilah-istilah Headcount dan Penentuan Data

Di dalam melaksanakan program ini, anda akan menemui beberapa istilah yang agak pelik yang digunakan sebagai rujukan dan sasaran. berikut disenaraikan istilah-istilah tersebut dan maknanya:


  1. TOV - Take Off Value
    (Markah rujukan bagi setiap pelajar)

  2. OTI - Operational Target Increment
    (Markah sasaran bagi setiap pelajar mengikut peperiksaan)

  3. AR - Actual Result
    (Markah sebenar yang diperolehi pelajar mengikut peperiksaan)

  4. ETR - Expected Target Result
    (Markah sasaran yang akan diperolehi pelajar untuk PMR / SPM / peperiksaan akhir tahun)

Hanya satu data sahaja digunakan untuk TOV dan ETR tetapi biasanya kita memerlukan 3 data untuk OTI dan AR, disebut sebagai OTI1, OTI2, OTI3, AR1, AR2 dan AR3. Penentuan data tersebut bergantung kepada PPD atau JPN masing-masing. namun, saya membuat sedikit pengubahsuaian mengikut keperluan sekolah saya. penentuan data yang saya berikan di bawah hanyalah sebagai rujukan untuk para guru sekalian, tidak semestinya sama dengan yang digunakan di sekolah anda.




* Sila right klik pada imej, save picture as dan simpan di dalam komputer anda. buka menggunakan mana-mana perisian untuk saiz yang lebih besar dan jelas.
* Sila ubah tahun mengikut tahun semasa.

Apa itu 'HEADCOUNT'?

1.0 PENGENALAN

Melaksanakan tugas sebagai guru adalah satu tanggungjawab yang cukup berat. Selain daripada mendidik para pelajar, guru juga bertanggungjawab memastikan anak didik mereka mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi selepas alam persekolahan. Tanggungjawab ini adalah berterusan sepanjang tahun bermula daripada hari pertama persekolahan sehinggalah pelajar selesai menduduki peperiksaan awam.


Tugas ini menuntut keprihatinan yang jitu daripada guru. Sehubungan itu, program HeadCount diperkenalkan untuk membantu guru merancang sasaran pencapaian bagi mata pelajaran yang di ajar. Selain itu, ianya juga membantu pelajar membina keyakinan untuk mencapai keputusan seperti mana yang diharapkan oleh guru.


2.0 MISI

MENYEDIAKAN SASARAN PENCAPAIAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN AWAM YANG LEBIH ANALITIKAL DAN REALISTIK BERDASARKAN PENCAPAIAN SEMASA PELAJAR


3.0 OBJEKTIF PELAKSANAAN

  1. menyediakan sasaran peratus lulus dan gred purata untuk setiap mata pelajaran dan keseluruhan untuk PMR dan SPM
  2. membantu pelajar menetapkan halatuju pembelajaran mereka dan lebih fokus kepada pembelajaran mereka
  3. guru dapat membimbing, memulih serta mengembangkan potensi pelajar ke tahap optimum

4.0 RASIONAL PELAKSANAAN

  1. Pelajar belajar secara rambang dan tanpa hala tuju. Sebelum ini, mereka tidak pasti tentang keupayaan mereka mencapai gred yang lebih baik daripada biasa. Headcount membantu mereka lebih fokus kepada pencapaian akademik mereka.
  2. Guru mengajar secara rambang tanpa mengikut kemampuan dan kebolehan pelajar. Program headcount membahagikan pelajar kepada 3 bahagian iaitu kumpulan galus, sederhana dan cemerlang. Guru dapat menjimatkan masa dan mengoptimumkan usaha untuk meningkatkan peratus lulus dan gred purata.
  3. Pihak pentadbir sekolah dapat membuat pemantauan berstrategik ke atas guru dan murid berdasarkan data yang sah.
  4. Panitia dan guru dapat merancang program khas mengikut kumpulan pelajar.
  5. Panitia dan guru lebih bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku kejatuhan dari segi peratus kelulusan dan gred purata. Pelbagai program dapat dirancang untuk mengelakkan ianya berlaku.

Salam Perkenalan

Assalamualaikum dan salam bahagia

terima kasih kerana sudi menjengah ke blog ini. saya pasti, anda adalah salah seorang guru, pelajar ataupun ibu bapa yang berminat utk mengetahui lebih lanjut mengenai program 'headcount'. tujuan blog ini diwujudkan adalah untuk kita sama-sama berkongsi maklumat dan kemahiran dalam melaksanakan program yang sangat baik untuk membantu anak-anak dan pelajar-pelajar kita mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Sebelum bercerita lebih lanjut mengenai headcount, ingin saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu. saya adalah salah seorang guru di SMK Taman Mutiara Rini, Johor Bahru tetapi kini melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang Fizik sepenuh masa tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia. sudah berumah tangga dan kini mempunyai 3 cahaya mata perempuan. saya mula melaksanakan headcount ini semenjak mula-mula ianya diperkenalkan di Johor. Pada masa itu, hanya beberapa sekolah sahaja yang terpilih untuk menjadi perintis kepada program ini. Perisian yang digunakan pada masa tersebut hanyalah Microsoft Excel, dan pastinya banyak kelemahan dan kekurangan yang didapati di dalam perisian tersebut. saya menguruskan headcount di peringkat sekolah selama lebih kurang 3 tahun sebelum menjawat jawatan sebagai guru media dan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Perisian SAP123HC dan SAP45HC yang digunakan kini cukup mantap dan memudahkan guru-guru melaksanakan program headcount tersebut. namun begitu, beberapa fail daripada microsoft excel tetap perlu digunakan untuk memudahkan perancangan guru sebelum memasukkan data ke dalam perisian headcount. kita akan bincangkan perkara-perkara tersebut dalam post saya yang akan datang.

akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi mengunjungi blog ini. sama-samalah kita memanfaatkan blog ini dengan sebaik mungkin agar usaha dan keprihatinan kita ini dapat mencapai impian dan sasaran untuk kecemerlangan anak-anak pelajar kita. saya alu-alukan soalan daripada semua dan anda juga bebas memberi idea, respon dan komen anda di sini.

terima kasih...